MAJLIS PERJUMPAAN PENGARAH BAHARU YAKIN BERSAMA WARGA KERJA YAKIN
KOTA BHARU, 7 OKTOBER 2026 β Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) telah mengadakan Majlis Perjumpaan Pengarah Bersama Kakitangan bertempat di Bilik Mesyuarat Lembaga YAKIN, Kompleks YAKIN.
Majlis ini menandakan pertemuan rasmi kali pertama antara Pengarah YAKIN yang baharu, YABrs. Encik Nik Faizai bin Mohamed, bersama seluruh barisan pengurusan serta warga kerja YAKIN sejak memulakan tugas rasmi sebagai Pengarah YAKIN.
Dalam sesi amanat sulung tersebut, beliau menzahirkan penghargaan atas penerimaan baik serta komitmen yang ditunjukkan oleh warga YAKIN. Beliau menegaskan bahawa peranan YAKIN sebagai agensi peneraju kebajikan dan kecemerlangan pendidikan anak negeri menuntut tahap profesionalisme, kebertanggungjawaban, dan integriti yang tinggi daripada setiap peringkat pegawai dan kakitangan.
Bagi memastikan kelancaran operasi dan tadbir urus yang cemerlang, beliau menegaskan kepentingan mematuhi setiap dasar, pekeliling, serta peraturan perkhidmatan yang telah ditetapkan. Menurut beliau, pematuhan kepada prosedur operasi standard merupakan benteng utama dalam menjamin ketelusan, tatakelola yang baik, serta akauntabiliti jabatan.
Beliau turut menitikberatkan aspek disiplin kehadiran dan keberadaan kakitangan di tempat bertugas, dengan menegaskan bahawa ketepatan waktu serta komitmen fizikal mahupun mental semasa waktu bekerja mencerminkan integriti dan profesionalisme sebenar seorang penjawat awam.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan seluruh warga kerja agar sentiasa melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang digalas secara objektif tanpa mencampuradukkan urusan tugas dengan isu atau sentimen peribadi, demi mengekalkan keharmonian serta produktiviti persekitaran pejabat.
Beliau juga menyeru setiap kakitangan supaya mengambil inisiatif mengetahui dan memahami peranan serta skop fungsi bahagian-bahagian lain dalam organisasi. Langkah ini disifatkan penting bagi mengikis budaya kerja secara berasingan, sekali gus membina sinergi dan komunikasi rentas bahagian yang lebih kukuh demi melancarkan gerak kerja di YAKIN.
Β










