Konvensyen TAMAR’25 Cipta Sejarah Himpun Mahasiswa Rabbani di Timur Tengah
Amman, Jordan – 15 Ogos 2025
Konvensyen Transformasi Mahasiswa Rabbani Murabbi Timur Tengah 2025 (TAMAR’25) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan mahasiswa dari pelbagai universiti di Jordan dalam sebuah program ilmu dan ukhuwah bertempat di ASU Universiti, Amman.
Bermula seawal jam 9.30 pagi, konvensyen ini menjadi medan penting untuk memperkukuh peranan mahasiswa sebagai Rabbani Murabbi — pendidik berjiwa rabbani yang mampu memimpin ummah dengan ilmu dan akhlak.
Antara pengisian utama TAMAR’25 termasuklah sesi perkongsian ilmiah bersama para tokoh ulama dan cendekiawan, membuka ruang para peserta menimba mutiara ilmu secara langsung daripada mereka yang berpengalaman luas dalam bidang keilmuan dan kepimpinan.
Turut mencuri perhatian ialah Dialog Terbuka bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan, memberikan peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dan berdiskusi secara terus mengenai pendidikan.
Selain itu, konvensyen turut menyaksikan pembentangan khas oleh para mahasiswa Jordan, yang berkongsi idea dan solusi dalam memperkasa peranan mahasiswa di medan realiti masyarakat.
TAMAR’25 bukan sekadar konvensyen, tetapi merupakan titik tolak kepada gerakan transformasi mahasiswa di Timur Tengah — ke arah membina jaringan ukhuwah, memacu kecemerlangan intelektual, dan mengukuhkan komitmen dalam mendidik ummah.