Skip to main content
Malay English

Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri (PESAYA) Ke-15 Berlangsung Meriah di Kelantan

21 July 2025

Kota Bharu, 20 Julai 2025 – Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) telah mencatat sejarah apabila buat pertama kali menjadi tuan rumah bagi Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (PESAYA) dengan jayanya.

Kejohanan yang berlangsung dari 12 Julai 2025 hingga 20 Julai 2025 itu telah menjadi medan bagi para atlet dari seluruh warga yayasan negeri untuk bersaing secara sihat dalam semangat kesukanan dan perpaduan. Acara ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Zamakhshari Bin Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan dan menyaksikan penyertaan lebih daripada 978 orang atlet dan pegawai pengiring.

Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri (PESAYA) Ke-15 Berlangsung Meriah di Kelantan    PESAYA 15 

Antara sukan yang dipertandingkan termasuklah futsal, dart, e-sukan, karom, badminton, ping pong, bola tampar, bola jari, petanque, boling dan golf telah mendapat sambutan hangat daripada para peserta serta penonton.

Ketua Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Nik Jessim bin Tan Sri Nik Hashim, dalam ucapan alu-aluan semasa majlis penutup beliau menyatakan rasa bangga dan terima kasih kepada semua kontinjen yayasan negeri yang sudi menyertai PESAYA ke-15 dan juga berterima kasih pihak yang terlibat dalam memastikan kejohanan ini berjalan lancar.

YAB Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Panglima Perang Dato Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud juga mengucapkan terima kasih di atas kehadiran kontinjen yayasan negeri yang berkampung selama 9 hari di bumi Kelantan serta memeriahkan sukan PESAYA anjuran YAKIN dengan penuh semangat kesukanan.

“Terima kasih atas kehadiran dan kemeriahan semua kontinjen sepanjang 9 hari berada di Kelantan. Saya berharap semua dapat pulang dengan kenangan yang manis, pengalaman yang berharga serta keindahan budaya dan keramahan rakyat Kelantan. Semoga sukan terus menjadi jambatan perpaduan dan wahana untuk kita membina tubuh badan yang sihat, minda yang cerdas serta hubungan yang lebih erat sesama rakyat Malaysia.,” katanya.

Majlis Penutup berakhir dengan penyampaian hadiah kepada johan 11 sukan serta johan keseluruhan yang telah dimenangi oleh kontinjen Yayasan Pelajaran Johor, sekali gus menutup tirai kejohanan yang penuh dengan semangat juang dan persahabatan oleh YAB Menteri Besar Kelantan.